Monday 24 October 2011

Indahnya Hidup Ini

Penat dengan urusan kerja seharian membuat kita terasa ingin terus melelapkan mata bila sampai di rumah. Tetapi mengingatkan kembali azam tahun 2011, mungkin untuk menghabiskan satu buku setiap bulan membuat kita tersenyum sendiri. Ianya selalunya hanya bertahan beberapa bulan dan akhirnya....

Namun kita masih boleh berpuashati kerana sekurang-kurangnya beberapa buku berjaya  dihabiskan walaupun agak memenatkan. Membaca buku yang tulisannya terlalu akademik kadang membuat kegairahan kita hilang. Oleh itu carilah buku yang senang difahami untuk memupuk minat membaca selain memberi pandangan baru dalam hidup anda dan tidak kurang memotivasikan. 

Motivasi diri kita boleh hilang ekoran tekanan-tekanan dan kegagalan kita dalam menangani hidup seharian. Keadaan ini akan meletakkan kita dalam keadaan semakin tertekan dan lemah.

Justeru, kita perlu mengalih perhatian kita daripada terlalu memikirkan kegagalan kita yang akan mengurangkan keyakinan diri.  Sebaliknya mencari dorongan baru setiap hari untuk melawan kegagalan itu dengan semangat baru. Antaranya adalah dengan membaca buku-buku motivasi dan pengalaman-pengalaman hidup insan-insan yang berjaya. Kebanyakan mereka yang berjaya telah melalui kegagalan seperti kita juga namun mereka akan bangun semula. Bagaimana mereka boleh bangun semula, begitulah juga kita. 

Berhadapan dengan tekanan hidup membuat kita hilang semangat. Dengan membaca pengalaman kegagalan orang lain yang lebih teruk, membuat kita merasa apa yang kita alami adalah sesuatu yang kecil sahaja. Ianya juga membuat kita merasa kita tidak sendirian dan betapa kecilnya masalah yang kita hadapi. 

Bayangkan seorang yang pernah kehilangan keluarga, maruah dan segalanya, sebelum mereka bangkit semula dan mencapai apa yang mereka punyai kini. Apalah sangat dibandingkan dengan kegagalan kita. 

Pandanglah kehadapan kerana semalam tidak akan kembali dan hari ini hakikat yang perlu kita tempuhi agar lebih baik dari semalam. 

Oleh: Naturactor Malaysia

No comments:

Post a Comment